SharePoint
A- A A+
NCID > News & Events > News > Guna antibiotik harus ikut arahan doktor

Guna antibiotik harus ikut arahan doktor

Guna antibiotik harus ikut arahan doktor

Cara salah boleh akibatkan kerintangan antimikrob (AMR) – kuman penyebab jangkitan tolak kesan ubat antimikrob seperti antibiotik


Orang ramai dinasihatkan supaya memastikan penggunaan ubat antibiotik dilakukan secara rasional dan bijak untuk mengurangkan risiko kerintangan antimikrob, atau antimicrobial resistance (AMR).

Antibiotik ialah sejenis ubat antimikrob, dan AMR berlaku apabila kuman (bakteria, virus, atau kulat) yang menyebabkan jangkitan menolak kesan ubat antimikrob, seperti antibiotik, yang digunakan untuk merawatnya.

Penolakan kesan antibiotik itu dipanggil kerintangan antibiotik.

Jika AMR tidak dikawal, ia boleh membawa kepada keadaan sebelum antibiotik ditemui, iaitu kecederaan ringan seperti calar boleh menyebabkan jangkitan bakteria yang mengancam nyawa.

Ketua Pejabat Penyelarasan Kerintangan Antimikrob (AMRCO), Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID), Profesor Madya Ng Oon Tek, berkata di negara yang keadaan AMR tidak terkawal, lebih ramai orang mengalami komplikasi jangkitan yang boleh membawa maut semasa pembedahan, melahirkan, rawatan barah dan perubatan lain.

“Ada kos besar ke atas nyawa manusia dan ekonomi daripada AMR kerana ia membuatkan jangkitan lebih mudah berlaku dan dalam beberapa kes mustahil dirawat,” ujar Profesor Ng kepada Berita Harian.

Menurut beliau lagi, peningkatan AMR merupakan satu ancaman yang membimbangkan di peringkat sejagat kerana ia menyebabkan penyakit sukar diubati.

Satu kajian antarabangsa yang diterbitkan dalam jurnal,The Lancet, membayangkan AMR secara langsung menyebabkan 1.27 juta kematian di seluruh dunia pada 2019 – lebih besar daripada bilangan kematian disebabkan oleh HIV atau malaria.

CARA TERSEBAR
Menurut Profesor Ng, AMR berkembang dalam kuman dengan cara sama kuman tersebar.

Cara biasa penyebaran kuman dalam kalangan manusia termasuk melalui sentuhan langsung antara manusia, sentuhan dengan persekitaran atau objek tidak bernyawa ataumelalui udara..

“Kuman AMR merebak lebih baik dengan adanya penggunaan antimikrob (seperti antibiotik) kerana kuman AMR boleh hidup sekalipun terdapat antimikrob, manakala kuman tanpa AMR akan dibunuh oleh antimikrob.

“Oleh itu, penggunaan antimikrob, termasuk antibiotik, yang tidak betul dan berlebihan akan membantu kuman AMR merebak,” terang beliau.

Ini kerana antibiotik memberi kesan terhadap bakteria baik di dalam tubuh manusia juga,seperti bakteria di dalam usus yang berfungsi membantu proses pencernaan dan penghadaman.

“Pada jangka masa panjang, bakteria baik ini akan melawan antibiotik sekiranya antibiotik itu diberi atau diambil dalam situasi ia tidak diperlukan bagi merawat penyakit.

“Pembentukan kerintangan antibiotik ini berlaku dalam tempoh lama sejajar dengan pengambilan antibiotik yang tidak diperlukan sejak seseorang itu kecil,” kata Profesor Ng.

Beliau menerangkan bahawa dalam perubatan penyakit berjangkit,ada pelbagai jenis bakteria, atau bahasa ‘pasarnya’ kuman, yang boleh menyebabkan demam.

Demam boleh diakibatkan oleh bakteria, virus, parasit dan kulat.

Namun, pengambilan antibiotik hanya diperlukan sekiranya demam disebabkan bakteria.

“Jika anda demam disebabkan virus, parasit atau kulat, pengambilan antibiotik tidak memberi kesan atau interaksi terhadap penyakit dialami,” ujar Profesor Ng.

Menyifatkan AMR sebagai isu kesihatan yang kompleks, beliau berkata bakteria melawan antibiotik boleh tersebar menerusi air kencing dan najis malah boleh hidup di luar badan.

Pakar Kanan NCID yang juga Ketua, Jabatan Penyakit Berjangkit, Hospital Tan Tock Seng, Dr Monica Chan, menambah:

“Dalam beberapa kes, tempoh jangkitan pesakit boleh berpanjangan kerana pilihan rawatan antibiotik yang kurang berkesan disebabkan oleh kerintangan antimikrob.

“Ini boleh menghalang proses pemulihan dan mungkin menyebabkan tekanan fizikal dan mental tambahan kepada pesakit.

“AMR menyebabkan jangkitan menjadi lebih sukar dirawat, meningkatkan kemungkinan komplikasi dan/ atau jangkitan sekunder dan membawa
kesan negatif lebih besar terhadap keseluruhan kesihatan pesakit.”

LANGKAH PENCEGAHAN
Ditanya berapa kerap kes AMR seperti itu berlaku berdasarkan pengalaman beliau, dan apakah langkah yang boleh diambil oleh mereka dalam kalangan perubatan untuk menanganinya, Dr Chan berkata:

“Untuk menangani kes AMR dengan berkesan dalam komuniti perubatan, terdapat dua pendekatan utama, iaitu pencegahan serta kawalan jangkitan dan program pemuliharaan antimikrob.

“Pemuliharaan antibiotik melibatkan pembangunan garis panduan dan pelaksanaan mekanisme bagi memastikan antibiotik yang ditetapkan adalah betul untuk jangkitan yang dialami pesakit.

“Pasukan pencegahan jangkitan di hospital juga membangunkan panduan dan memastikan pelaksanaan langkah-langkah untuk mencegah penularan jangkitan, termasuk AMR, di hospital.”

Menjelaskan peranan masyarakat, beliau berkata pesakit mempunyai hak untuk bertanya kepada doktor mengenai keperluan mengambil antibiotik.

Selain itu, pesakit perlu mematuhi nasihat doktor apabila disuruh antibiotik walaupun sudah sembuh.

“Ini kerana risiko bakteria masih ada di dalam tubuh dan antibiotik yang diberi dapat melawan dan mengawal pembiakan bakteria itu.

Profesor Ng pula menambah: “Langkah pertama yang boleh diambil oleh orang awam untuk melindungi diri daripada AMR ialah dengan mencegah jangkitan kerana setiap jangkitan yang dicegah adalah satu peluang untuk mengurangkan penularan AMR.

“Jangkitan boleh dicegah dengan amalan kebersihan peribadi yang baik, termasuk mencuci tangan secara berkala, menyediakan makanan secara bersih dan mengambil vaksinasi yang sentiasa dikemas kini.

“Selain itu, elakkan daripada berada di tempat sesak ketika tidak sihat dan jika mengalami gejala pernafasan, pakai pelitup jika perlu pergi ke tempat awam.

“Pemilik haiwan peliharaan juga boleh membantu dengan memastikan amalan kebersihan yang sewajarnya dan vaksinasi yang sentiasa dikemas kini untuk haiwan peliharaan mereka.

“Orang awam juga boleh memainkan peranan mereka dengan menggunakan antibiotik secara betul.

“Gunakan antibiotik hanya apabila ditetapkan oleh doktor dan jangan meminta antibiotik apabila didiagnosis mengalami keadaan yang tidak memerlukan antibiotik.

“Gunakan antibiotik mengikut arahan yang diberikan oleh doktor.

“Jangan menggunakan antibiotik yang ditetapkan untuk ahli keluarga atau orang lain dan jangan berkongsi antibiotik dengan ahli keluarga dan orang lain.”

Rawatan antibiotik kedua pulihkan luka jari kaki yang dipotong

Setelah menjalani pembedahan amputasi, luka pembedahan Encik Azman Abdullah, lambat sembuh disebabkan jangkitan bakteria.

Encik Azman, 57 tahun, mengalami jangkitan bakteria yang kebal terhadap pelbagai jenis antibiotik, dengan semua antibiotik oral mungkin tidak berkesan dan tidak dapat digunakan untuk merawat jangkitannya.

Sebagai ganti, Encik Azman menjalani rawatan antibiotik intravena(IV) setiap hari selama tiga bulan sebagai sebahagian daripada rawatannya.

“Selepas itu, saya dapat melihat luka saya semakin baik. Saya tidak lagi mengalami kesan darah dan kulit saya mula tumbuh semula. Saya mengambil masa tiga bulan untuk menyelesaikan rawatan antibiotik kedua,” ujar beliau.

Keadaan Encik Azman bermula pada Ogos 2022 apabila beliau terjatuh di hadapan bilik mandi di rumahnya.

“Saya perasan ada lubang kecil pada kaki kiri saya. Lubang itu mula membesar hingga sebesar bola tenis meja. Lubang itu kemudian menjadi hitam dan keras.

“Saya mendapatkan rujukan daripada seorang pakar podiatri (penjagaan kaki dan kuku) untuk ke Jabatan Kecemasan Hospital Tan Tock Seng (TTSH).

“Doktor menyatakan bahawa untuk menyelamatkan kaki kiri saya, dua jari kaki saya dan beberapa bahagian tapak kaki perlu dipotong,” ujarnya.

Pembedahan pada 2022 berjalan lancar. Selepas pembedahan, doktor dan jururawat di TTSH mencadangkan beliau menjalani rawatan IV kerana mereka menyedari luka beliau lambat sembuh dan berkemungkinan berlaku jangkitan.

“Mereka melihat tiada banyak kemajuan yang dibuat. Saya diberi antibiotik IV baru setiap hari.

“Selepas dua setengah minggu, saya dibenarkan keluar dari TTSH dan disuruh pergi ke Suntikan Antibiotik di Luar Rumah Sakit (OPAT) di TTSH untuk meneruskan rawatan antibiotik IV,” ujar Encik Azman, yang turut menjalani rawatan dialisis.

Encik Azman menjelaskan pengalaman beliau menjalani rawatan harian antibiotik IV.

“Secara fizikal, pergi ke klinik OPAT dan pusat dialisis setiap hari bukan masalah bagi saya. Saya tidak menganggapnya sebagai beban untuk pergi dari rumah ke klinik. Ia juga memberi saya alasan untuk keluar dari rumah.

“Dari segi emosi, ia tidak memberi kesan yang besar kepada saya. Seseorang itu perlu kuat. Saya boleh menerima situasi ini dan pada akhirnya, kehidupan terus berjalan.”

Beliau menambah: “Daripada pengalaman ini, saya belajar lebih banyak tentang antibiotik dan kepentingan mengikuti arahan doktor dengan teliti dalam penggunaan antibiotik.

“Adalah mengagumkan bagaimana sebotol kecil antibiotik boleh membantu memerangi bakteria.”

Read the full article here​.
Source: Berita Harian © SPH Media Limited. Permission required for reproduction.



















Last Updated on